KUCHING: Anugerah Kecemerlangan Industri Ketua Menteri Sarawak (CMIEA) 2021 adalah program anugerah pengiktirafan korporat yang bertujuan memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada perniagaan yang cemerlang di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, anugerah tersebut merupakan anjuran Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) dan mendapat sokongan daripada kerajaan negeri.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak itu juga menjelaskan, CMIEA diterima pakai dari Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) yang mana ia merupakan Anugerah Kecemerlangan Industri peringkat kebangsaan.
“Yang lebih penting, syarikat-syarikat dinilai menggunakan Rangka Kerja Kecemerlangan Perniagaan (BEF) yang diiktiraf antarabangsa sebagai penanda aras.
“Ini adalah pendekatan praktikal untuk mencapai kecemerlangan dalam semua aspek prestasi organisasi.
“Oleh itu, saya ingin menjemput syarikat-syarikat yang layak di Sarawak untuk mengambil bahagian dalam CMIEA 2021.
“Saya juga berharap SBF dapat terus mengatur CMIEA pada masa akan datang dan dengan berbuat demikian, ia terus memperkukuhkan komuniti perniagaan di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Pelancaran CMIEA 2021 menerusi platform Zoom pada Khamis.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Prestasi Dan Penyampaian Perkhidmatan), Datu Dr Sabariah Putit dan Presiden SBF, Datuk Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg.
Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah memberitahu, dalam mendepani impak pandemik COVID-19, kerajaan Sarawak dan kerajaan Persekutuan telah menghasilkan banyak inisiatif dan strategi untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan komuniti perniagaan dijaga, serta untuk memastikan pemulihan ekonomi negara.
Tambah beliau, Sarawak merupakan satu-satunya negeri yang memberikan subsidi faedah yang dianggarkan berjumlah RM80.7 juta untuk Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) dan Pembiayaan Pelancongan PENJANA (PTF) bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan untuk mengurangkan lagi beban kewangan mereka.-EDISI UKAS
Sumber dari : UKAS